'Maha suci Allah yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lupa'
Saya atau mungkin juga anda yang sedang membaca ketika ini kekadang pernah atau tidak lalai dalam mengerjakan solat. Ini kerana gangguan yang amat hebat dari syaitan yang telah terang-terangan bersumpah pada Allah s.w.t akan menyesatkan umat manusia sehingga hari kiamat.
Astagfirullahal 'Azim...3x , Ampunkan aku Ya Allah kerana telah lalai, moga-moga aku termasuk ke dalam golongan yang beriman dan selalu tetap beribadah padaMu.
Sahwi bermaksud lupa sesuatu.
Pengertian dari segi syarak adalah terlupa sesuatu di dalam solat. Sujud sahwi
adalah sujud yang dilakukan sebanyak dua kali setelah selesai bacaan
Tahiyat akhir dan sebelum salam; ia dikerjakan untuk menutup kecacatan
dalam pelaksanaan solat kerana terlupa, dan hukumnya adalah sunat.
Doa sujud sahwi adalah seperti berikut:
[سُبْحَانَ مَنْ لَا يَنَامُ وَلَا يَسْهُوْ]
Subhaana man-laa yanaamu walaa yashuu
Ertinya: "Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa."
Sebab-sebab sujud sahwi ada tiga: kerana kelebihan, kerana kekurangan, dan kerana ragu-ragu.
Sujud Sahwi Kerana Kelebihan
Barangsiapa terlupa di dalam solatnya lalu tertambah rukuk, atau sujud, dan sebagainya, maka dia perlu sujud sahwi.
Sujud Sahwi Kerana Kekurangan
Barangsiapa, justeru terlupa, lalu meninggalkan salah satu sunat
ab'adh, maka ia harus sujud sahwi sebelum salam. Misalnya, makmum
terlupa tahiyyat awal dan hanya teringat setelah sempurna qiam (berdiri
tegak), maka dia tidaklah perlu duduk kembali dan cukup baginya sujud
sahwi. Namun, sekiranya dia teringat sebelum separuh bangkit untuk qiam,
maka bolehlah dia kembali duduk dan menyempurnakan tahiyyat awal dan
tidak perlu sujud sahwi.
Sujud Sahwi Kerana Ragu-ragu
Keragu-raguan di dalam solat adalah kerana tidak meyakini sama ada
terlebih atau terkurang, umpamanya seseorang ragu sama ada dia di dalam
rakaat ketiga atau keempat.
Keraguan ada dua jenis:
Sekiranya seseorang lebih cenderung kepada satu hal (waham, atau
lebih 50% pasti), umpamanya dia lebih meyakini dia kini di dalam rakaat
ketiga dan bukan rakaat keempat, maka dia harus menurutkan mengambil
sikap kepada yang lebih ia yakini, kemudian dia melakukan sujud sahwi
setelah salam.
Sekiranya seseorang itu ragu-ragu antara dua hal, dan tidak condong
pada salah satunya (dzan, atau hanya 50-50 pasti), maka dia harus
mengambil sikap kepada hal yang sudah pasti akan kebenarannya, iaitu
jumlah rakaat yang sedikit. Kemudian menutupi kekurangan tersebut, lalu
sujud sahwi sebelum salam.
Hal-hal Penting Berkenaan Dengan Sujud Sahwi
- Apabila seseorang meninggalkan salah satu rukun solat secara tidak sengaja, dan ia belum sampai pada rukun yang sama di rakaat berikutnya, maka ia wajib kembali kepada rukun yang tertinggal itu, dan kembali meneruskan solat dari situ. Sekiranya dia sudah berada pada rukun yang tertinggal itu pada rakaat berikutnya, maka rukun yang tertinggal itu dianggap terganti dengan rukun pada rakaat berikutnya itu. Pada kedua-dua hal ini, wajib dia melakukan sujud sahwi setelah salam atau sebelumnya.
- Apabila sujud sahwi dilakukan setelah salam, maka harus pula melakukan salam sekali lagi.
- Apabila seseorang yang melakukan solat meninggalkan sunat ab'adh secara sengaja, maka batallah solatnya.
- Jika ketinggalan kerana lupa, kemudian dia ingat sebelum beranjak dari sunat ab'adh tersebut, maka hendaklah dia melaksanakannya dan tidak perlu sujud sahwi.
- Jika ia teringat setelah melewatinya tapi belum sampai kepada rukun berikutnya, maka hendaklah dia kembali melaksanakan rukun tersebut, lalu sujud sahwi selepas salam.
- Jika ia teringat setelah sampai kepada rukun yang berikutnya, maka sunat ab'adh itu gugur, dan dia tidak perlu kembali kepadanya untuk melakukannya, akan tetapi perlu sujud sahwi sebelum salam.
- Sekiranya seseorang itu terlupa sujud sahwi dan teringat hanya selepas memberi salam maka bolehlah ia sujud sahwi, dengan syarat ingatan itu timbul dalam masa yang tidak begitu lama.
- Sekiranya imam terlupa sujud sahwi, makmum bolehlah sujud sahwi setelah imam memberi salam.
No comments:
Post a Comment
Feel free sharing your thoughts here....